SELAMAT DATANG KE BLOG UBNK SMK PANTAI SEPANG PUTRA.

SELAMAT DATANG KE BLOG UBNK SMK PANTAI SEPANG PUTRA
DATANG DENGAN HARAPAN PULANG DENGAN KEJAYAAN

Monday 2 January 2012

PERSEDIAAN-PERSEDIAAN YANG PENTING DALAM MENCAPAI KECEMERLANGAN DALAM PELAJARAN


Kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran dan kehidupan adalah impian semua manusia dan pelajar khususnya. 

Tanya pada diri anda “Anda mahu berjaya?” fikirkan sejenak “Apa yang anda lakukan setakat ini untuk mencapai kejayaan yang diimpikan?”. 

Renungkan “Apa sebenarnya persediaan-persediaan yang perlu anda buat dalam mencapai kecemerlangan sebagai pelajar di dunia dan di akhirat?”. Anda tahu jawapannya? Dalam bab ini kita akan sama-sama melihat dan mengkaji secara lanjut apakah persediaan-persediaan yang perlu ada jika kita dan anda sebagai pelajar ingin mencapai kecemerlangan itu.

1.Persediaan hati

Persediaan hati perlu bagi setiap orang pelajar dalam mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Dalam apa jua pekerjaan atau matlamat pun, persediaan hati adalah perkara asas bagi membentuk kecemerlangan yang berkualiti. Bagi seorang pelajar, dalam menuntut ilmu mereka perlulah betul-betul ikhlas, mempunyai kesedaran yang tinggi, mempunyai hati yang kuat dan sabar dan bersedia serta penuh minat agar ilmu yang diperolehi dapat digunakan dengan sebaik mungkin. 

Persediaan hati yang utuh dalam menuntut ilmu perlu agar ianya menjadi tabah dalam menghadapi liku-liku dan cabaran kehidupan sebagai seorang pelajar. Maka apabila seorang pelajar yang mempunyai persediaan hati yang bersih, mereka akan mampu untuk meneruskan usaha dan peranannya sebagai seorang pelajar dalam mencapai kecemerlangan dalam pelajarannya. 

Aqidah adalah asas amalan. Amalan hati lebih utama berbanding amalan anggota. Mendapatkan kesempurnaan dengan keduanya adalah dituntut oleh syara’ sekalipun terdapat perbezaan martabat dan pentarbiyahannya. Pada prinsip ini, Imam Al-Banna menetapkan beberapa hakikat yang telah dinyatakan oleh Al-Quran dan dijelaskan kepentingannya oleh Rasullullah SAW iaitu hakikat-hakikat yang boleh memberi impak (kesan) yang besar terhadap perilaku seseorang dan pentarbiyahannya.

Aqidah teras amalan di mana beriman kepada Allah dan kesejahteraan i’tiqad adalah teras kepada segala-galanya. Tanpanya segala amalan tiada nilai, walau ia kelihatan besar dan banyak kerana ia dibangunkan di atas asas yang kosong yang menghala ke arah kesesatan. Allah SWT berfirman tentang orang kafir dan amalan mereka, yang bermaksud dan kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik) lalu kami jadikan ia terbuang sebagai debu yang berterbangan (surah Al-Furqan: ayat 23).

Dengan kadar kekuatan aqidah, keteguhan iman dan keyakinan yang benar dapat menghasilkan buah amalan dan menentukan kematangan. Kewajipan semua individu muslim umumnya dan pendidik khususnya hendaklah memberi perhatian terhadap keteguhan akar umbi keimanan yang murni dan aqidah yang sejahtera dalam jiwa untuk menghasilkan amalan yang sahih lagi diterima. Sesungguhnya inilah dia petunjuk Nabi dalam mentarbiyyah para sahabatnya.

Amalan hati dan amalan anggota merupakan tempat asal keimanan, sesungguhnya hati adalah semulia-mulia anggota. Di situ merupakan pusat kesejahteraan segala anggota dan kepincangannya. Berkaitan tentang hati ini Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud “ketahuilah dalam jasad manusia itu adalah sepotong daging, sekiranya ia baik maka baiklah keseluruhan jasad dan sekiranya ia buruk maka buruklah seluruhnya. Ketahuilah ia adalah hati”. (Fath Al-Bari).

Justeru, pentarbiyyahan Nabi yang pertama dihalakan kepada hati kerana hati adalah anak kunci kepada semua perubahan. Jika hati beristiqamah, maka anggota yang lain juga turut akan istiqamah. Allah telah berfirman yang bermaksud sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada apa pada diri mereka (Surah Al-Ra’d: Ayat 11).

Oleh itu amalan hati lebih mulia berbanding amalan anggota. Tawakkal kepada Allah, keyakinan kerana Allah, takut kerana Allah lebih afdal daripada zikir, memberi nafkah serta membuang perkara yang menyakitkan di jalan, berbanding segala kebajikan yang lain. Nifaq, takabbur, hasad dan bakhil adalah lebih berbahaya berbanding mencerca, mencuri dan memukul malah kedua-duanya adalah perkara yang mendatangkan mudharat.

Sesungguhnya kewajipan pelajar muslim ialah berusaha untuk berakhlak dengan semua cabang iman  yang menghimpunkan  semua amalan sama ada amalan hati mahupun amalan anggota supaya kejayaan di dunia mahupun akhirat dapat dikecapi. Seseorang pelajar muslim tidak harus berpada dengan salah satu sahaja. Sesungguhnya Allah memerintahkan kita bertawakkal kepadanya, meminta pertolongan daripadanya, takut kepadanya, mengharap kepadanya dan diperintahkan juga bersembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa dan berzikir. Wajib mentaati Allah pada setiap perkara tersebut.

Orang-orang yang sempurna iman mengetahui perkara ini dan beramal dengannya sepertimana Allah SWT berfirman yang bermaksud sesungguhnya orang-orang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gentarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatnya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada tuhan mereka jualah mereka berserah. Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di syurga) (Surah Al-Anfal: Ayat 2-4).

Peranan seorang pelajar muslim ialah bersungguh-sungguh dan berusaha ke arah kesempurnaan. Pada setiap amalan dengan memusatkan kepada amalan hati dan bermula dengannya tanpa mengabaikan serta meremehkan amalan anggota. Namun kita perlu mengambil kira keutamaan dengan mendahulukan yang lebih utama berbanding yang di bawah. Rasulullah bersabda yang bermaksud iman itu ada tujuh puluh cabang atau enam puluh lebih, yang paling afdhalnya ialah mengucap dua kalimah lailaha illa Allah dan yang serendah-rendahnya ialah membuang perkara yang menyakitkan di jalan. Sifat malu juga adalah satu cabang daripada  iman ( Hadis Riwayat Muslim).

2. Persedian fizikal

Apa jua harapan dan cita-cita tidak akan tercapai sekiranya tiada persediaan fizikal. Sebagai seorang pelajar, mereka perlu tahu untuk menjaga dan menguruskan diri mereka ke arah yang lebih baik. Mereka mesti memastikan keadaan diri sentiasa cergas dan sihat agar masalah-masalah kesihatan yang timbul tidak akan menjejaskan perjalanan pembelajaran mereka. Aktiviti-aktiviti sepereti beriadah, bersenam dan mendapat rehat secukupnya akan mampu menjadikan minda yang cergas dan secara tidak langsung akan membantu individu atau pelajar itu sendiri supaya lebih aktif dalam pelajarannya. 

3.Peralatan dan setting pembelajaran yang cukup dan terurus.

Peralatan-peralatan yang diperlukan oleh anda semasa dalam mengulangkaji  pelajaran perlu dititik-beratkan. Apa jua peralatan seperti pen, pensil, buku dan keperluan-keperluan  lain amat penting ketika dalam proses untuk belajar agar proses pembelajaran berjalan dengan lancar tanpa gangguan-gangguan tertentu. Manakala setting pembelajaran atau tempat untuk mengulangkaji perlulah juga diteliti dengan sebaik mungkin. Bagi mencapai keberkesanan dalam proses mengulangkaji pelajaran tempat yang dipilih untuk belajar mestilah bersesuaian. Di sini bermaksud setting atau tempat itu mestilah suasana yang tenteram, senyap, selesa dan mempunyai ruang yang cukup serta mempunyai kemudahan yang sesuai seperti lampu, kipas dan sebagainya untuk mewujudkan pengudaraan dan persekitaran yang baik dalam proses belajar. 

4.Kepercayaan kepada kemampuan  sendiri.

Seseorang pelajar yang ingin mencapai kecemerlangan dalam pelajarannya mesti tahu dan percaya akan kemampuan dan kebolehan dirinya sendiri. Anda sebagai seorang pelajar perlu yakin dan bersemangat dalam mencapai kejayaan yang diinginkan. Pelajar perlu yakin dengan bakat, kemahiran dan ilmu yang ada dalam dirinya serta kemampuan akal yang dimilikinya agar mereka boleh terus maju dan mantap dalam apa jua bidang yang mereka ingin ceburi. Pelajar sekalian, percayalah sesiapapun manusia di dalam dunia ini akan mendapat kejayaan dan kecemerlangan dalam apa juga yang diingini sekiranya mereka berusaha dan bersunguh-sungguh dalam mencapai objektif mereka. Usaha yang bersungguh-sungguh semestinya diiringi doa dan tawakal kepada Allah S.W.T agar apa jua pekerjaan dan ilmu yang dituntut mendapat keberkatan dari-Nya.

5. Bersedia mengubah sikap dan memperbaiki akhlak yang buruk kepada yang baik.

Menuntut ilmu adalah suatu kewajipan kepada semua individu, tidak kira dalam bentuk formal atau tidak formal. Dalam menuntut ilmu, apa yang perlu adalah sikap yang bersedia untuk berkongsi maklumat dengan orang lain serta mengubah sikap dan memperbaiki akhlak yang buruk kepada yang lebih baik. Hal ini kerana sikap adalah jalan utama dalam merealisasikan perubahan diri setiap individu dan khususnya kepada pelajar. Pelajar sekalian, apa yang kita tahu sikap mempunyai tiga elemen penting iaitu:-

i.                     Minda ( pemikiran)
ii.                   Perasaan ( afektif)
iii.                  Tingkahlaku

Ketiga-tiga elemen ini, perlu berubah bersama-sama agar ketahanan dan keyakinan diri yang positif dalam menjamin ke arah kecemerlangan kehidupan pelajar. Kesepaduan unsur jasmani, emosi, rohani dan intelek adalah gabungan dan cantuman yang penting dalam menuntut ilmu pengetahuan. Pelajar sekalian, kita seharusnya berusaha membentuk ke arah sikap yang lebih baik kerana seperti yang kita tahu sikap yang bertindak sebagai pendorong kepada manusia atau individu itu sendiri untuk bergerak menjadi positif atau negatif.

i.                     Perubahan minda

Minda merupakan titik tolak yang mempengaruhi manusia berubah lantas bertindak. Pelajar seharusnya memberhentikan segala alasan-alasan yang negatif dan mereka seharusnya berpandangan secara positif. Anda perlulah memperbaiki cara berfikir serta melihat diri secara positif dan setiap cabaran dan kegagalan yang terpaksa diharungi dalam menuntut ilmu sebagai satu pendorong ke arah mencapai kecemerlangan yang utuh.
ii.                   Perubahan perasaan

Perasaan disebut sebagai emosi atau efektif yang sering menguasai diri seseorang individu. Bagi mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, seseorang pelajar mengubah efektifnya menjadi lebih positif dan setiap emosi-emosi yang negatif perlu dikikis. Sebagai contoh pelajar yang mempunyai perasaan rendah diri perlu membina keyakinan diri kerana anda berhak mencapai kecemerlangan seperti orang lain. Semangat ingin bersaing juga perlu dipupuk agar ianya mampu untuk mencapai kecemerlangan masa depan.
Setiap pelajar juga perlu mengaku kelemahan diri kerana apabila wujudnya perasaan yang merasakan dirinya itu lemah maka mereka berusaha untuk mengetahui dan mempertingkatkan kredibiliti diri yang menjurus ke arah kewibawaan serta karisma dan penampilan sebagai individu yang mempunyai asas kepada kecemerlangan kehidupan di dunia dan di akhirat.




iii.                  Perubahan tingkah laku 

Seperti yang kita tahu tingkah laku seseorang individu itu boleh dilihat secara luaran. Ia merupakan penampilan diri atau tingkah laku yang terhasil daripada maklumbalas perubahan minda dan perasaan. Dalam mengubah tingkah laku seseorang pelajar itu perlu gigih, bersemangat dan mempunyai niat di dalam hatinya bahawa dirinya betul-betul ingin berubah ke arah yang lebih positif.

Secara kesimpulannya, perubahan tingkah laku yang lebih positif adalah merupakan satu perkara yang menjadi satu tuntutan dalam mencari erti kecemerlangan yang sebenar. Elemen-elemen yang dibincangkan sebentar tadi, perlu dititikberatkan dan diseimbangkan di antara ketiga-tiga aspek. Pelajar sekalian, ingatlah kita sahaja yang mampu dan boleh mengubah diri kita.

  1. Bersedia menempuh ujian, cabaran dan risiko.

Sebenarnya dalam kehidupan sebagai seorang pelajar, kita tidak akan terlepas dalam menghadapi dugaan dalam kehidupan dan cabaran menuntut ilmu. Masalah-masalah emosi, keluarga, masalah rakan-rakan sebaya, masalah-masalah dengan guru, masalah dalam pelajaran serta juga masalah kewangan sering menghantui pelajar-pelajar kita pada hari ni. Melalui kesedaran inilah pelajar itu sendiri perlu bersedia dalam menghadapi setiap permasalahan yang timbul. Sebenarnya masalah-masalah sebegini sebenarnya kecil bagi orang dewasa tapi ianya amat penting bagi orang yang mengalaminya khususnya remaja. Pelajar sekalian, apa jua permasalahan yang wujud dalam kehidupan, anda perlulah berbincang dan melihatnya secara positif. Sekiranya permasalahan yang timbul sukar diselesaikan berbincanglah dengan ibu bapa, guru atau jumpalah kaunselor untuk mencari jalan dalam menyelesaikan masalah yang timbul.

Secara keseluruhannya, persediaan dalam menghadapi cabaran dan risiko kehidupan seorang pelajar perlu ada sebagai benteng bagi menjamin kesejahteraan diri dan kehidupan untuk mencapai kecemerlangan yang diinginkan. Binalah benteng di dalam diri agar segala risiko dan kegagalan serta masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan cara yang sebaik mungkin. ANDA MAMPU MELAKUKANNYA....

Sumbangan : Nik Syuharul Apizo Bin Safien.

Sumber : http://laluan-kerjaya.blogspot.com

No comments:

Post a Comment